BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

20 January 2011

Analogi Diriku

Photoshopped Rose With Desaturated Background

Setiap daripada kita pasti akan akan membandingkan diri kita dengan sesuatu yang lain. Sesetengah merasakan dirinya seperti seekor singa yang gah berdiri dengan kekuatan dan keberanian yang dimilikinya. Sesetengah melihat dirinya sebagai seekor rama-rama yang dahulunya kecil dan hodoh tetapi pabila meningkat dewasa, menjadi seekor rama-rama yang cantik dan bebas terbang kemana sahaja yang dikehendaki. Tidak kiralah apa jua pilihan yang anda buat semuanya bukanlah atas dasar suka-suka. Ada sebab dan perkara yang menyebabkan mengapa sesuatu itu dipilih. Kadang-kala atas sebab pengalaman yang telah dilalui, ataupun disebabkan personaliti diri seseorang individu tersebut, dan melalui pemilihan itu, kita boleh menilai dan mengintrepertasikan siapa diri seseorang itu yang sebenarnya.

Membuat pemilihan adalah suatu perkara yang sukar kerana bagi sesetengah orang yang obses dengan kesempurnaan, pastinya dia tidak mahu orang lain tahu akan kelemahan dirinya. Dia akan mengambil masa yang lama untuk berfikir sedalam yang mungkin supaya pilihan yang dibuatnya adalah yang terbaik bagi dirinya dan tidak akan memakannya di kemudian hari.

Bunga Mawar menjadi pilihan di hati. Diri ini tertanya juga mengapa memilih bunga ros sebagai objek atau perkara untuk dibandingkan kepada diri sendiri. Aku melihat bunga Mawar sebagai suatu entiti yang sangat misteri. Kelihatan sangat cantik dan menarik tapi bagi sesiapa yang tidak tahu bagaimana hendak menjaga dan memiliki walau sekuntum bunga Mawar, hayatnya tidak akan kekal lama.

Begitulah aku mengibaratkan diri ini. Sebagai sekuntum bunga Mawar. Tampak begitu indah dan memikat hati boleh dipegang dan dimiliki oleh sesiapa saja yang mahukannya. Namun, jangan terpedaya dengan keindahan luaran semata. Jangan tertipu dengan warna menarik kelopak bunga yang berwarna merah menyala kerana di sebalik warna pekat itu tersembunyi duri-duri yang mampu menyebabkan anda terluka.

Jangan salah tafsir situasi ini sebagai bermuka-muka. Sekuntum Mawar yang merah tidak pernah bermuka-muka, tidak pernah memakai topeng kerana duri itu sememangnya sebahagian daripada dirinya tidak pernah cuba untuk menyembunyikan realiti tersebut.

Aku seorang yang tenang dan damai. Aku lebih suka memilih untuk berdiam daripada bersuara jika senyap itu lebih baik. Aku tidak gemarkan konflik dan perbalahan kerana itu aku tidak suka jika aku tau ada orang yang tidak menyukai kehadiran diriku.

Pun begitu, kalau ada orang yang benar-benar telah mencabar kesabaran aku, aku pasti akan marah juga kerana kenyataannya aku masih lagi seorang manusia biasa. Tetapi aku tidak akan bertindak secara melulu dan tidak akan berdepan dengan seseorang tersebut secara bersemuka. Aku akan melaukannya dengan cara yang berlainan. Menggunakan persekitaran yang mampu mempengaruhi dirinya secara lahiriah mahupun secara dalaman. Bagi aku, bertindak sedemikain lebih memberikan kesan yang mendalam berbanding dengan membuat perkara yang menyakitkan secara fizikal.

Begitulah aku ibaratkan diri ku dengan sekuntum Mawar merah. Tampak indah dan menarik tapi jika tidak berhati-hati dan tidak menjaganya dengan baik maka akan melukakan anda di kemudian hari.

Hasil nukilan ~ Adzmin Adenin ~

18 January 2011

Pemikiran adalah Anugerah Tuhan

Secara umumnya pemikiran merupakan satu perkara baik untuk setiap manusia. Apakah yang membuatkan kita dapat berfikir? Jawapan yang mungkin sesuai digunakan ialah kerana Tuhan memberikan kita Akal. Atau,jawapan dari segi Ilmiah pula ialah mungkin dengan mengemukakan Teori Otak Triune yang diperkenalkan oleh Paul MacLean,atau Teori Otak Roger Sperry yang diperknalkan oleh Profesor Roger Sperry-Pemenang Hadiah Nobel di University of California.


Memang sesuatu yang menarik apabila wujudnya manusia yang mampu menerangkan cara manusia berfikir dari segi teorinya. Memang ada logiknya perkara yang sedemikian, namun kuasa terbesar yang membolehkan manusia berfikir adalah kerana Tuhan telah mengurniakan kita akal. Apabila manusia berfikir dengan bijak, logik dan cemerlang, atau lebih dari itu, sudah pasti akal adalah punca manusia berfikir sehebat itu.

Setiap manusia juga tahu apa perkara yang membezakan manusia dengan hidupan yang lain, iaitu manusia memiliki akal dan yang lain tidak. Cuba fikirkan bagaimana manusia dapat mencipta pelbagai alatan canggih seperti komputer,Telefon Bimbit dan sebagainya. Setiap daripada kita akan berfikir, "Wah...hebatnya ciptaan ini!!" Namun,disebalik kehebatan itu adalah hasil dari daya pemikiran yang kreatif berdasarkan akal yang diberikan oleh Tuhan kepada kita.

Dalam kehidupan harian kita dapat menyelesaikan masalah yang kita hadapi, dan kita dapat melakukan keputusan yang bijak. Kita juga dapat mempertimbangkan apa yang baik dan apa yang buruk. Selain itu, kita juga dapat memberikan idea yang dihasilkan oleh daya berfikir kita. Perkara yang sehebat itu hanya dapat kita lakukan kerana adanya akal yang dikurniakan oleh Tuhan.

Kesimpulannya, segala kehebatan fikiran kita adalah kerana akal yang diberikan oleh Tuhan. Oleh itu, kita haruslah bersyukur dan menggunakan akal yang dikurniakan oleh Tuhan ini dengan baik. Janganlah kita menjadi hipokrit, kerana akal tidak berlangsung dalam pemikiran yang jahat. Memikirkan perkara jahat adalah sama seperti kita menyalahgunakan akal, atau langsung tidak menggunakan akal. Dalam pengertian lainnya, ada akal tapi seperti tiada akal. Jadi, Pemikiran adalah Anugerah Tuhan!